Warung Old School Menggamit Nostalgia 80an

Mungkin tiada siapa menyangka warung yang beroperasi di zaman 1960-an masih mampu menjalankan perniagaan biarpun sudah berstatus old school di tengah-tengah bandar raya ini. Gerai makan dan minuman yang terletak di Jalan Bendahara atau dahulunya dikenali Capitol masih bertahan hingga kini malah menyediakan pelbagai menu pada harga serendah 80 sen bagi secawan kopi ‘O’ atau teh ‘O’ dan RM1 bagi teh ‘O’ ais.

Peniaga Mohd Arif Kabul, 50, berkata, dia mula berniaga di situ sejak 1983 dan mengakui tempat old school itu wujud sejak lebih 20 tahun sebelumnya lagi, namun hingga sekarang masih mempunyai pelanggan.

Menurutnya, walaupun lokasi kawasan di situ tidak secantik tempat makan lain dan hanya berlatar belakangkan belakang bangunan, namun banyak nostalgianya.

“Selain menjual air pada harga cukup rendah, saya menggunakan halia tua yang dikisar untuk menghasilkan rasa asli dan menggunakan kopi diimport dari Sri Lanka bagi memastikan rasanya kekal sama macam dulu-dulu.

“Menariknya saya masih mengekalkan cara memasak air menggunakan arang di atas tong air yang berusia lebih 30 tahun yang dibeli di Singapura,” katanya.

Mengimbau kembali ketika mula-mula berniaga di situ, dia berkata, tempat itu hanya berbumbungkan kain kanvas dan pernah menjadi lokasi menjamu selera beberapa artis terkenal seperti kumpulan Alleycats selain bekas Ketua Menteri Tan Sri Mohd Ali Rustam.

“Meskipun zaman berubah, tempat ini tetap wujud walaupun sudah berpuluh tahun tetapi ramai generasi muda yang tidak tahu tempat lama ini.

“Kini yang ramai datang ke sini adalah generasi lama. Di sini ada juga peniaga mamak dan Cina,” katanya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.