Wang Palsu Dari ATM

Seorang wanita di sini terkejut apabila dia dimaklumkan oleh pekedai, tiga keping wang kertas RM50 yang digunakan untuk pembayaran membeli cincin perkahwinannya adalah palsu.

Wanita berkenaan yang berusia 25 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai Liyana, mendakwa kesemua wang tersebut diperolehi dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah pasaraya di sini, Sabtu lalu.

Kisahnya mula tular apabila Liyana itu bersama pasangan Fizzie, 29, berkongsi pengalaman mengeluarkan wang palsu dari ATM di sebuah pasaraya di sini.

Liyana ketika dihubungi berkata, dia dan tunangnya ke pasaraya terkemuka di Banda Hilir di sini, sekitar jam 8.10 malam.

“Sebaik tiba di sini, saya dan tunang ronda-ronda meninjau harga cincin untuk bakal suami kerana kami bakal bernikah Ogos nanti.

“Selepas berkenan, saya ke ATM untuk keluarkan RM150 dan saya tidak memeriksa langsung tiga keping not RM50 itu, lalu bersama tunang kembali ke kedai barang kemas untuk membeli sebentuk cincin.

“Ketika membuat pembayaran, juruwang kedai itu memberitahu ketiga-tiga not RM50 yang saya hulurkan itu adalah wang palsu.

“Saya terkedu dan apabila wang itu diserahkan semula kepada saya, memang jelas wang itu palsu. Mujur tunang saya ada membawa wang dan membayarnya,” katanya.

Dia yang berasal dari Johor dan berkerja sebagai kerani akaun di sebuah syarikat di negeri ini berkata, wang kertas RM50 itu tidak mempunyai hologram gambar Agong, garisan perak yang tidak berkilat, manakala tulisan bank negara yang mengalami kecacatan cetakan.

Katanya, sejurus selepas itu, dia ke Balai Polis Melaka Tengah membuat laporan polis, sebelum diminta ke Balai Polis Bandar Hilir untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan polis dibuat mangsa, dan memberitahu, tuntutan semula wang boleh dibuat mangsa ke bank terbabit.

SUMBER : Sinar Harian

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.