Siapakah Laksamana Tun Abdul Jamil Ini?

satu program percuma khas oleh orangmelaka.com

Laksamana Tun Abdul Jamil merupakan seorang tokoh penting di zaman Kesultanan Johor dalam abad ke – 17 yang memainkan peranan besar dalam usaha merebut kembali kerajaan Melaka yang telah dijajah oleh Portugis pada 24 Ogos 1511. Kejayaan ini berjaya memulihkan semula kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi dan tentera di Selat Melaka. Beliau juga berperanan menggalakkan orang Melayu bergiat dalam aktiviti perniagaan dan menjadikan Pelabuhan Johor sebagai pelabuhan termaju dengan berbagai prasarana kemudahan. Pada masa yang sama Tun Abdul Jamil melaksanakan sistem naungan untuk melindungi para pedagang Islam dari ancaman lanun dan musuh.

jamil1

Tun Abdul Jamil mengetuai angkatan perang Johor untuk menyerang Portugis di Melaka pada tahun 1606 dengan dibantu Belanda yang telah membuat perjanjian untuk sama-sama menyerang Portugis dan merampas kembali Melaka. Angkatan perang Johor terdiri dari 50 buah perahu dan 3,000 askar Melayu dengan dibantu oleh 11 buah kapal perang Belanda yang diketuai oleh Cornelis de Jonge Matelief. Pada 18 Mei 1606, pasukan gabungan Melaka – Belanda telah mengepung Melaka. Kemudiannya pada 17 Ogos 1606 berlaku pertempuran sengit dengan armada Portugis yang dibantu oleh 14 kapal perang. Dalam peperangan tersebut dua buah kapal perang Belanda telah karam di lautan. Ini menyebabkan Jonge Matelief mengundurkan angkatan perang Belanda ke Sungai Johor. Ekoran pengunduran Belanda, pihak Tun Abdul Jamil yang tidak mampu bertahan di daratan terpaksa meninggalkan Melaka. Bagaimanapun pada tahun 1640 sekali lagi Tun Abdul Jamil mengetuai angkatan perang terdiri dari 40 perahu perang dan 1,500 tentera serta turut dibantu Belanda telah menyerang Portugis di Melaka. Pada bulan Ogos 1640 mereka mengepung Melaka dan akhirnya berjaya mengalahkan Portugis pada Januari 1641.

jamil2

Pada tahun 1666 Jambi telah muncul sebuah kerajaan yang kuat ingin membebaskan diri dari cengkaman jajahan Johor. Oleh itu beberapa siri peperangan meletus antara Johor dan Jambi. Dalam peperangan itu Jambi berjaya menawan Batu Sawar, ibu negeri Johor. Bendahara Johor, Tun Habib Abdul Majid turut ditawan oleh Jambi. Ketiadaan Tun Habib Abdul Majid menyebabkan kuasa Bendahara diambil alih oleh Tun Abdul Jamil. Sekitar tahun 1679 Tun Abdul Majid yang dibantu oleh Orang Laut dan Bugis telah berjaya menewaskan Jambi sekaligus memaksa kerajaan itu tunduk kepada kekuasaan Johor. Sultan Ibrahim yang berbangga dengan kejayaan beliau mengembalikan maruah Johor telah menganugerahkan gelaran Paduka Raja kepada Tun Abdul Jamil. Dengan anugerah ini Tun Abdul Jamil amat berkuasa dalam pemerintahan kerajaan Johor. Beliau berjaya memulihkan semula kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi dan tentera di Selat Melaka. Pelabuhan Johor menjadi pelabuhan yang maju dengan cukai berpatutan berjaya menyekat monopoli penjajah Eropah dalam perdagangan di Alam Melayu.

jamil3

Tun Abdul Jamil yang semakin berpengaruh dan masyhur telah meminggirkan ramai bangsawan dan pembesar dalam membuat sebarang keputusan. Beliau telah melantik anak-anak dan ahli keluarganya mengisi jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Johor. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan pembesar-pembesar lain. Tun Habib Abdul Majid yang dipinggirkan telah mengetuai pemberontakan untuk merampas semula kedudukan sebenar beliau sebagai pembesar utama. Pemberontakan secara mengejut menyebabkan Tun Abdul Jamil, ahli keluarga dan para pengikutnya terpaksa berundur dari Johor. Tun Habib Abdul Majid serta pengikutnya yang masih tidak berpuas hati terus mengejar pihak Tun Abdul Jamil hingga ke Terengganu.

jamil4

Ketika tiba di sebuah pantai di Terengganu, berlaku satu pertempuran hebat di antara pihak Tun Abdul Jamil dan Tun Habib Abdul Majid. Pihak Tun Abdul Jamil yang kehabisan peluru meriam terpaksa menggunakan wang syiling emas sebagai ganti peluru ketika berperang. Dalam pertempuran sengit itu yang berlaku pada tahun 1688, Tun Abdul Jamil dan keluarganya telah terbunuh. Berdasarkan peristiwa bersejarah yang penting di Terengganu pada 1688 inilah akhirnya tercipta sebuah lagu berjudul “Sayang Laksamana Mati Dibunuh”.

Selepas kematian beliau Tun Habib Abdul Majid berjaya mengambil kembali jawatannya sebagai Bendahara yang lebih kuat dan berpengaruh. Beliau meninggal dunia pada tahun 1697 di Padang Saujana, Kota Tinggi dan di makamkan di sana. Daripada jurai keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid inilah wujudnya salasilah Kesultanan Johor, Pahang dan Terengganu hingga ke hari ini. Selain lagu “Sayang Laksamana Mati Dibunuh”, salah sebuah kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diabadikan sempena nama Tun Abdul Jamil iaitu Kapal Diraja (KD) Laksamana Tun Abdul Jamil sebagai menghargai sumbangannya di dalam sejarah kesultanan Melayu Johor.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.