Sejarah Sg Udang

Sungai Udang adalah sebuah perbandaran yang semakin pesat membangun di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Kedudukannya yang amat strategik, terletak di antara laluan persekutuan utama menghubungkan Bandar Melaka dan Masjid Tanah. Sungai Udang dikelilingi dengan beberapa kawasan penempatan seperti kampung Paya Rumput Jaya, Bertam Ulu, Pantai Kundor dan Tangga Batu.

udang1

Mengikut kisah masyarakat tempatan, asal-usul nama Sungai Udang diperolehi dari nama sebatang sungai yang mengalir di kampung ini. Peranan sungai tersebut yang penting dalam mengairi kawasan pertanian dan pengangkutan pada ketika itu. Kononnya juga terdapat banyak udang malah juga buaya didalamnya. Diceritakan juga bahawa beberapa kali jugalah jemaah masjid telah bersua dengan reptilia pemangsa ini ketika hendak mengambil wudhuk di kolah masjid yang terletak di tepi sungai.

udang4

Sungai Udang mempunyai sebuah masjid bersejarah yang telah dibina pada tahun 1810 masihi. Sungai Udang juga pernah terkenal sebagai di antara pusat pendidikan pondok tersohor di sebelah pantai barat semenanjung dengan penubuhan Madrasah An-Nuriah An-Diniah di Paya Rumput pada 8 Rejab 1358 bersamaan 12 Ogos, 1940, oleh Tuan Guru Muallim Haji Abdul Wahid bin Othman. Pondok ini telah mendapat sambutan hebat pada 1950-an di mana terdapat hampir 100 buah pondok dengan lebih 350 orang pelajar dalam satu sesi pengajian. Pada 1962, madrasah ini telah mendirikan asrama untuk anak yatim lelaki di Sungai Udang, manakala anak yatim perempuan kekal di Paya Rumput.

udang2

Majoriti penduduk Sungai Udang adalah terdiri dari anggota tentera dan keluarga mereka serta bekas pesara tentera kerana terdapat dua kem tentera iaitu Kem Terendak dan Kem Sungai Udang. Kem Terendak adalah antara kem terbesar di Malaysia kerana menempatkan hampir kesemua cabang unit di dalam ATM. Sungai Udang juga lebih dikenali sebagai Pekan Tentera Darat, selain gelaran klasiknya Home of the Commando.

Selain daripada itu Kompleks Penjara Melaka, Sungai Udang yang baru dibina juga bakal menjadi salah satu mercu tanda baru bagi bandar kecil yang serba lengkap ini. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lanskap pembangunan Sungai Udang semakin pesat berubah dengan terbina dan bermulanya operasi Loji Penapisan Kedua Petronas Fasa I dan Fasa II (PSR I & PSR II) yang merupakan antara yang terbesar seumpamanya di sebelah pantai barat. Fasa III telah siap sepenuhnya pada tahun 2012. Pelabuhan Sungai Udang yang dikendalikan Petronas Sungai Udang Port Sdn Bhd juga telah memperkenalkan lagi nama Sungai Udang di peta maritim antarabangsa.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.