Sejarah Bukit Senjuang

satu program percuma khas oleh orangmelaka.com

Bukit ini asalnya adalah Bukit Pipit dan nama Bukit Senjuang diambil daripada nama Bukit Saint John oleh penduduk tempatan. Terdapat tiga buah bukit di tengah Bandaraya Melaka, iaitu Bukit Melaka (Bukit Saint Paul), Bukit China dan Bukit Senjuang (Bukit Pipit/Bukit Saint John). Ketika zaman Kesultanan Melaka, hanya dua buah bukit sahaja yang digunakan iaitu Bukit Melaka dan Bukit China.

senjuang1

Almarhum Sultan Mansur Syah telah mendirikan istana baru yang diberi nama Istana Mahligai di puncak Bukit Melaka. Manakala di Bukit China pula, dibangunkan sebuah Istana untuk Puteri Hang Li Poh dan ahli rombongannya (dari sinilah wujudnya masyarakat peranakan Cina Melaka atau Baba Nyonya). Bukit Pipit hanya digunakan di zaman pemerintahan Almarhum Sultan Alauddin Riayat Syah apabila baginda menggunakan bukit ini untuk melihat keadaan Kota dan rakyatnya

“bahawa dari Air Leleh hingga ke Muar itu rumah tidak berputusan….”

senjuang2

Ini adalah petikan yang diambil dari Sejarah Melayu yang menyatakan penempatan penduduk di Melaka pada zaman keemasannya sangat padat dan memanjang sehingga ke Muar. Perkampungan orang Melayu yang terdapat di kaki Bukit Pipit (Bukit Senjuang) ini ialah Kampung Air Leleh dan Almarhum Sultan Alauddin kerap ke bukit ini untuk melihat rakyatnya. Ketika Melaka di serang Portugis pada tahun 1511, bukit ini pernah menjadi pertahanan terakhir tentera Melaka sebelum Almarhum Sultan Mahmud Syah berundur ke Bentayan, Muar. Tentera Melaka tidak dapat bertahan lama di bukit ini kerana tidak mendapat sumber air yang mencukupi.

senjuang3

Di era pemerintahan Portugis, bukit ini langsung tidak digunakan. Istana Mahligai di Bukit Melaka pula dibakar dan dirobohkan dan diganti dengan Gereja Saint Paul yang masih wujud hingga sekarang. Ketika tentera Acheh menyerang Portugis di Melaka, bukit ini digunakan oleh tentera Acheh sebagai kubu utama untuk membedil pertahanan Portugis di dalam kota.

senjuang4

Serangan tentera Acheh berterusan bertahun tahun lamanya dan apabila Sultan Acheh, Almarhum Sultan Iskandar Thani mangkat pada tahun 1610, tentera Acheh di Melaka telah dipanggil balik dan tiada lagi serangan dari Acheh selepas itu. Selepas tentera Acheh meninggalkan bukit tersebut, Portugis langsung tidak mengambil manfaat dan kelebihan untuk mengambil alih bukit yang strategik itu. Ini kerana pada waktu itu Portugis semakin lemah akibat serangan bertubi tubi oleh tentera Johor dan tentera Acheh dan tidak mampu lagi untuk menyediakan pertahanan baru.

Ketika Belanda menyerang Portugis di Melaka pada tahun 1641, sekali lagi bukit ini digunakan oleh tentera Johor untuk menyerang dari arah darat. Di era pemerintahan Belanda pula, bukit ini telah digunakan. Pemerintah Belanda melihat bukit ini memiliki kelebihan dalam pertahanan dan ketenteraan. Sebuah kubu dibina di puncak bukit ini dan bukit ini diberi nama Bukit Saint John atau Sao Joa Hill. Oleh yang demikian binaan yang terdapat di atas bukit ini bukanlah binaan Portugis, tetapi ia adalah binaan Belanda.

Para sejarawan tidak pasti mengapakah bukit ini dipanggil Bukit Senjuang. Ada pendapat menyatakan ia adalah panggilan Saint John atau Sao Joa dalam bahasa Belanda dan dari pelat serta dialek penduduk tempatan maka ia sedikit demi sedikit berubah menjadi Senjuang -Wallahu a’lam. Di zaman Kesultanan Melaka, bukit ini dipanggil Bukit Pipit kerana terlalu banyak sarang burung pipit di puncaknya.

Catatan dari penulis Portugis Godinho De Eredia menyatakan:

“dan askar Melaka serta rajanya bertahan di buquetpipit berhari harian lamanya…”

Walaubagaimanapun bukit ini tidak disebut dalam Sejarah Melayu kerana mungkin peranan bukit ini tidak begitu menyerlah di zaman Kesultanan Melaka.

Godinho De Eredia mencatat lagi:

“dari Iler ke TanjonPacer semuanya habis dibakar..”

Penulis Portugis itu menyatakan dalam catatannya tentang rumah rumah penduduk Melaka habis dibakar ketika Portugis menyerang Melaka iaitu dari Iler (Banda Hilir) hingga ke TanjonPacer (Ujong Pasir). Ketinggian bukit ini dari aras laut ialah sekitar 20 meter dan pengunjung boleh melihat seluruh kawasan Ujong Pasir, Banda Hilir dan Kampung Air Leleh dari atas Kubu ini. Batu batuan untuk binaan kubu ini diambil dari Pulau Upeh (Ilha De Pedras) dan Pulau Jawa (Ilha De Jaoa). – (Pulau Jawa ini sudah tiada lagi di Melaka akibat daripada penambakan laut di sekitar Banda Hilir yang turut menghilangkan pulau kecil ini).

Selepas British mengambil alih Melaka melalui Perjanjian London 1824 selepas Melaka ditukarkan dengan Bencaloon atau Bangkahulu, bukit ini terus tidak digunakan lagi. British tidak lagi melihat manfaatnya. Ini kerana British tidak menerima sebarang ancaman dari mana mana pihak.

Para pengunjung boleh mengunjungi Kubu Belanda di atas puncak bukit ini setiap hari dan tiada bayaran dikenakan. Di dalam kubu ini hanya terdapat 5 buah meriam daripada berpuluh puluh buah meriam peninggalan Belanda untuk pertahanan dari serangan Bugis. (Belanda pula kerap menerima serangan Bugis di Melaka). Baki meriam Belanda yang lain boleh dilihat di Muzium Melaka berhampiran Bangunan Stadthuys (Bangunan Merah).

Pada tahun 1990, Kerajaan Negeri Melaka telah menaik taraf jalan ke puncak bukit ini bagi membolehkan kenderaan melaluinya. Pada tahun 1994, Perbadanan Muzium Melaka telah melakukan kerja kerja ekskavasi bagi menjejaki kesan kesan sejarah lain bukit ini.

Pada tahun 2000, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah mengisytiharkan Kubu ini sebagai Monumen Warisan Negara. Pada tahun 2005 pula, UNESCO telah mengisytiharkan keseluruhan binaan peninggalan Portugis dan Belanda di Melaka sebagai Warisan Dunia dan dilindungi.

Wartawan Sukarela: mohd khairil mohd yusof

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.