RM1.2 Juta Bantuan Sekolah Pondok Dan Tahfiz Di Melaka

Pada 25 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerahkan peruntukan RM80 juta kepada sekolah pondok berdaftar, SMAR dan institusi tahfiz bagi memperkasa dan memperkukuh institusi pendidikan agama.

Agihan di bawah Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah seperti diumumkan dalam Bajet 2017, termasuk RM30 juta bagi menyelaras dan membangunkan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), kali pertama peruntukan seumpamanya diberikan kerajaan.

Sebanyak RM65,278,640 daripada RM80 juta dana bantuan sekolah pondok dan institusi tahfiz daripada Kerajaan Persekutuan sudah disalurkan kepada 129 sekolah pondok, 99 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan 328 pusat tahfiz.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha, berkata baki RM14,488,240 lagi akan disalurkan kepada 243 institusi tahfiz dan dijangka selesai bulan depan.

“Baki dana berkenaan akan disalurkan selepas maklumat akaun pusat terbabit diperoleh. Penyaluran keseluruhan peruntukan berkenaan dijangka selesai pada bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, RM20.9 juta diagihkan kepada 133 institusi di Kelantan, 104 di Kedah (RM13.3 juta), 206 di Selangor (RM9.2 juta), 76 di Perak (RM7.2 juta), 104 di Johor (RM6.3 juta), 57 di Pahang (RM4.9 juta) dan 40 di Pulau Pinang (RM4.2 juta).

Selain itu, 25 institusi di Negeri Sembilan (RM3.6 juta), 14 di Terengganu (RM2.7 juta), 16 di Wilayah Persekutuan (RM1.4 juta), 14 di Melaka (RM1.2 juta), 17 di Sarawak (RM853,460), 11 di Perlis (RM730,400) dan dua di Sabah (RM39,540).

Sumber : Berita Harian

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.