Niat Hanya Untuk Menolong

satu program percuma khas oleh orangmelaka.com

Seorang kakitangan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka di Ayer Keroh di sini, Mohd Rizal Manoor, 33, tidak menyangka tindakannya menangkap seekor ular tedung selar di Taman Botanikal Melaka menjadi tular di laman sosial sejak Sabtu lalu. Menurutnya, tidak terlintas di hatinya untuk menyebarkan perkara itu, kerana niatnya hanya untuk menolong orang dari diancam reptilia berbisa itu apatah lagi di taman berkenaan yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.

“Yang menghubungi saya ketika itu, salah seorang kenalan, kerana dia tahu tentang saya boleh mengendalikan ular dan kebetulan tugas saya di Taman Buaya dan Rekreasi sebagai penjaga ular.

“Kira-kira jam 3.40 petang, Sabtu lalu saya terus ke Taman Botanikal, saya diberitahu ular tedung selar berkenaan sudah menyusup di bawah timbunan daun-daun, jadi saya bersama seorang lagi rakan, Mohamad Amir Amirul Arafat Zaini, 22, yang sudah biasa dengan ular cuba menjejakinya.

“Tidak sampai lima minit kami berjaya menangkapnya, biarpun ular berkenaan agak agresif, mungkin kerana ia tidak pernah melihat manusia,” katanya ketika ditemui di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka di Ayer Keroh di sini.

Menurut Mohd Rizal, meskipun di sebalik keyakinan dan pengalamannya mengendalikan haiwan berbisa itu, turut tersemat perasaan bimbang terhadap bahaya yang mungkin menimpa.

Apa tidaknya, kejadian itu cuma selang sehari selepas pemergian seorang sahabat seusianya yang juga terkenal dengan kemahiran menjinakkan dan menangkap ular, Allahyarham Abu Zarin Hussin, berpunca daripada patukan ular berbisa itu.

“Saya mengenali Allahyarham Abu Zarin sejak 10 tahun lalu, kami punyai kemahiran yang sama, tetapi arwah lebih berani. Kali terakhir saya berhubung, melalui WhatApps, seminggu sebelum kematiannya.

“Jadi, masa hendak tangkap ular berkenaan, hati saya mula berkata-kata tentang kebimbangan itu, tetapi niat saya hanya satu, mahu menolong orang, itu sahaja, saya mohon pada ALLAH SWT supaya melindungi saya dan rakan-rakan daripada terkena bahaya,” katanya.

Mohd Rizal berkata, menerusi pengalamannya, ular tedung selar yang ditangkap di Taman Botanikal itu dianggar sepanjang kira-kira tiga meter dan mempunyai berat kira-kira 4 kilogram sekaligus saiznya hampir sama dengan ular tedung selar yang mematuk Abu Zarin.

“Ular terbabit kini ada disimpan di Taman Buaya di sini selepas mendapat kebenaran daripada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara),” katanya.

Mohd Rizal berkata, berikutan kemahiran dimilikinya, dia kini kerap dipanggil bagi membantu menangkap ular yang menceroboh kediaman jiran selain mengajar orang ramai mengenai teknik menjinakkan reptilia itu.

“Salah satu yang saya lakukan kini dengan buat persembahan di Taman Buaya dan Rekreasi bagi beri pendedahan kepada orang ramai mengenai sifat sebenar ular.

“Ular sebenarnya suka dibelai sama seperti haiwan lain, cuma pergerakan dan perangainya sukar dijangka menyebabkan saya perlu sentiasa berwaspada setiap kali memegang reptilia berkenaan.

“Namun, kerana sudah lama bermain dengan ular, saya sudah tahu dan dapat mengagak pergerakan serta perangainya,” katanya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.