Monorel Melaka Dapat Sambutan

Permulaan semula perkhidmatan Monorel Melaka awal minggu lalu selepas ia terbiar lebih empat tahun ternyata berjaya menarik perhatian penumpang, di mana seramai 2,050 penumpang sudah menggunakan perkhidmatan itu. Difahamkan Sabtu lalu, perkhidmatan Monorel Melaka mencatat jumlah penumpang teramai setakat ini iaitu seramai 650 penumpang.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Hussin berkata, jumlah penumpang yang direkodkan semenjak monorel berkenaan memulakan perkhidmatan 4 Disember lalu ternyata mengatasi sasaran asal yang diletakkan MBMB selaku pengendali perkhidmatan itu.

Menurutnya, beliau yakin MBMB akan mampu memperolehi kembali pelaburan ke atas perkhidmatan berkenaan sekiranya sambutan hangat ini berterusan sehingga pertengahan tahun hadapan.

“Buat masa ini hanya satu monorel yang digunakan manakala monorel kedua dijangka akan dapat digunakan menjelang tahun hadapan,” katanya, di sini.

Mengambil masa 30 minit untuk menghabiskan satu pusingan di pinggir Sungai Melaka, setiap monorel ini boleh memuatkan seramai 24 penumpang pada satu-satu masa.

Monorel Melaka ini yang dibina membabitkan kos kira-kira RM15.9 juta memulakan operasi pada 20 Oktober 2010.

Bagaimanapun, ekoran beberapa masalah yang dihadapi, perkhidmatan berkenaan telah digantung Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ia memulakan kembali operasi minggu lalu.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.