Marhum Pagoh

satu program percuma khas oleh orangmelaka.com

Almarhum Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Almarhum Sultan Mansur Syah mula memerintah Empayar Melaka pada tahun 1477 Masihi. Nama asal baginda ialah Raja Hussein ibni Almarhum Sultan Mansur Syah. Baginda mempunyai 2 lagi saudara iaitu Raja Sulaiman dan Raja Muhammad. Saudara sulung baginda, iaitu Raja Sulaiman ibni Almarhum Sultan Mansur Syah telah mangkat di usia muda akibat bertarung senjata menahan jawa demam mengamuk di Pekan Besar.

marhum1

Saudara bongsu baginda pula iaitu Raja Muhammad ibni Almarhum Sultan Mansur Syah pula telah dihantar ke Pahang oleh ayahandanya dan dirajakan di Pahang bergelar Sultan Muhammad Syah iaitu Sultan Pahang yang pertama (Raja Muhammad dihantar ke Pahang kerana telah menikam Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja dengan kerisnya kerana telah ketawa apabila bola yang disepak oleh Tun Besar terkena destar yang dipakai di kepala Raja Muhammad ketika sedang bermain sepak raga. Tun Besar mati serta merta dan Bendahara Paduka Raja memohon agar Raja Muhammad tidak dipertuankan di Melaka sebagai Sultan Melaka, maka itu Raja Muhammad dihantar dan dipertuankan ke Pahang).

marhum2

Oleh kerana tiada lagi calon yang sesuai untuk mewarisi takhta Kesultanan Melaka maka Almarhum Sultan Mansur Syah menabalkan Raja Hussein sebagai Raja Muda bergelar Raja Alauddin dan selepas naik takhta baginda diberi gelar sebagai Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Syah Ibni Almarhum Sultan Mansur Syah. Sultan Alauddin diriwayatkan sebagai Sultan yang kuat beragama, hafiz Al Quran, pandai berpencak silat dan gemar duduk bersama alim ulama. Baginda juga dikatakan satu satunya Sultan Melaka yang pernah menunaikan haji ke Makkah. Ini kerana pada waktu itu perjalanan ke Makkah dengan menaiki kapal layar memakan masa yang sangat lama menyebabkan urusan haji amat sukar untuk ditunaikan oleh sesiapun dari kepulauan melayu.

marhum3

Baginda amat gemar turun ke Pekan Besar untuk melihat orang berniaga dan berjual beli. Baginda juga kerap melawat pelabuhan dan bertanya khabar para pedagang yang datang dari pelosok dunia. Almarhum Paduka Seri Sultan Alauddin juga mempunyai minat dalam berburu. Baginda kerap ke hulu Melaka untuk berburu dan setiap kali pulang ke istana baginda akan membawa pulang bersama hasil buruan yang akan dimasak dan dimakan bersama pembesar pembesar baginda. Baginda telah berkahwin dengan Raden Galoh Candra Kirana iaitu anak Betara Majapahit yang telah bernaung di bawah kekuasaan Melaka.

marhum4

Hasil perkahwinan baginda telah dikurniakan 4 orang cahaya mata yang terdiri daripada 3 orang putera dan seorang puteri. Anakanda sulung baginda ialah Raja Munawar telah meninggal dunia di usia muda akibat penyakit ganjil. Anakanda kedua baginda ialah Raja Muhammad (bergelar Paduka Seri Sultan Mahmud Syah iaitu Sultan Melaka yang terakhir). Anakanda ketiga baginda ialah Raja Zainal telah mati dibunuh oleh Paduka Seri Sultan Mahmud Syah akibat cemburu dengan perhubungan cintanya dengan gadis pujaan Sultan Mahmud Syah iaitu anak Bendahara Paduka Raja bernama Tun Fatimah.

Anakanda baginda yang keempat iaitu Raja Fatimah telah dikahwinkan dengan Raja Ahmad – Anakanda kepada adinda bongsu Sultan Alauddin iaitu Sultan Muhammad dari Pahang iaitu sepupu kepada Raja Fatimah sendiri. Baginda Sultan Alauddin gemar mendengar gurindam dan syair. Baginda kerap memanggil para pujangga dan penyair masuk ke istana untuk mengalunkan gurindam dan syair mereka. Baginda juga gemar mendengar kisah kisah para pemerintah Islam terdahulu seperti kisah Umar Abdul Aziz, Amirul Mukminin Umar Al Khattab dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah yang akan dibacakan di hadapan para hulubalang sekiranya keadaan negeri dan jajahan takluknya terancam.

Baginda juga kerap keluar malam dengan diiringi dua orang pengawal baginda untuk melihat keadaan rakyatnya. Suatu ketika baginda dan pengiringnya telah terserempak dengan perompak dan baginda sendiri telah berjaya menangkap perompak tersebut. Hasil dari rondaan malam itu, baginda telah menubuhkan pasukan pengawal peronda di seluruh pekan dan kawasan kediaman penduduk serta membangunkan pondok pondok dan pos pos pengawal bagi memelihara ketenteraman dan keamanan kawasan kejiranan. Usaha baginda ini akhirnya menjadi ikutan dan panduan Pasukan Polis Diraja Malaysia dengan mewujudkan pondok pondok, bit bit dan pos pos polis di kawasan berkepadatan tinggi.

Almarhum Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Syah telah memperkukuh penguatkuasaan Undang Undang Syariah di seluruh Melaka dan jajahan takluknya melalui Hukum Kanun Melaka dan Undang Undang Laut Melaka. Di zaman pemerintahan baginda, baginda telah sempat menerima khidmat dua orang Bendahara. Ketika mula naik takhta, Bendahara Paduka Raja Tun Perak masih berkhidmat dan lima tahun selepas itu Tun Perak meninggal dunia dan digantikan oleh Tun Putih.

Di zaman pemerintahan baginda berlaku banyak migrasi penduduk dari India dan timur tengah ke Melaka. Para imigran ini berhijrah ke Melaka kerana pada masa itu Melaka dilihat sebagai sebuah kerajaan Islam yang kuat dan mampu untuk melindungi keselamatan perniagaan rempah mereka di Kepulauan Melayu. Hasil dari proses migrasi ini, maka wujudlah perkahwinan campur dengan penduduk tempatan dan akhirnya terbentuklah etnik Chitti (India peranakan), India Muslim dan Arab-Melayu di Melaka.

Pemerintah Melaka telah mengiktiraf kewujudan etnik etnik yang wujud hasil dari migrasi ke Melaka ini sehingga pada abad terakhir kewujudan empayar Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, hampir separuh daripada pembesar pembesar kanan Kesultanan Melaka ini terdiri daripada etnik India Muslim termasuklah Bendahara Paduka Raja Tun Mutahir dan Syahbandar Datuk Mudeliar (kebanyakkan para pembesar etnik campur ini telah berkhidmat di zaman Almarhum Sultan Mahmud Syah, iaitu di tahun tahun akhir kejatuhan Melaka). Almarhum Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Syah mangkat pada tahun 1488. Baginda dikatakan telah diracun oleh para pembesar yang tidak berpuas hati dengan ketegasan baginda. Ada juga yang mengatakan baginda mangkat akibat sakit tua.

Namun ada sesuatu yang menarik dengan peristiwa kemangkatan baginda. Baginda tidak mangkat di Melaka seperti mana almarhum almarhum sultan Melaka yang lain. Baginda mangkat di Pagoh, Muar dan diberi gelar Marhum Pagoh. Ketika sedang menderita gering, baginda telah menitahkan Bendahara Paduka Raja Tun Putih supaya membawa baginda keluar dari penglihatan orang ramai. Tun Putih telah mengetuai rombongan diraja mengusung Almarhum yang gering itu ke Hulu Muar (mengikut catatan Sejarah Melayu) dan tiba di suatu kampung yang dikenali sebagai Pagoh (Kawasan Parlimen mantan Timbalan Presiden Umno Sekarang).

Baginda bersemayam di Pagoh selama 7 hari sebelum mangkat. Kemangkatan baginda telah ditangisi oleh seluruh kerabat, pembesar dan para pengiring baginda. Baginda amat dicintai dan disayangi sebagai satu satunya Sultan Melaka yang berperibadi tinggi.

Baginda tidak mahu rakyat baginda beremosi berlebih lebihan apabila mereka tahu baginda gering dan akan mangkat. Maka sebab itulah baginda berangkat keluar dari Melaka dan berhajat untuk mangkat di luar Melaka. Seperti sunnahnya Rasulullah SAW, setiap jasad yang mati di sesuatu tempat, maka di situ jugalah ia akan dikebumikan, maka begitulah juga yang dilakukan ke atas Almarhum Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Syah yang masyhur itu. Jenazah Almarhum dimakamkan di Pagoh, di tebing Sungai Muar. Oleh kerana terdapat makam seorang Sultan di situ akhirnya kampung itu dikenali sebagai Kampung Raja dalam Daerah Pagoh.

Di sebelah makam itu dibangunkan sebuah Masjid dan diberi nama Masjid Kariah Kampung Raja. Dikatakan majoriti penduduk di kampung ini adalah berketurunan Sida sida Istana dan pengawal pengawal diraja dari Zaman Kesultanan Melaka kerana ketika kemangkatan Almarhum di sini, beberapa pembesar dan pengawal telah memutuskan untuk tinggal menetap di kampung ini.

Sekalung Al Fatihah buat Almarhum Paduka Seri Sultan Alauddin Riayat Syah Ibni Almarhum Sultan Mansur Syah.

Kredit : Mohd Khairil Bin Mohd Yusof

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.