Lebih RM510j Harta Benda Diselamatkan Bomba Melaka

satu program percuma khas oleh orangmelaka.com

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menyelamatkan pelbagai harta benda dengan nilai taksiran lebih RM510 juta bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kata Pengarahnya, Kamarulzaman Malik Abdullah. Beliau berkata, taksiran itu melibatkan harta benda diselamatkan anggota 10 balai bomba di negeri ini yang mana Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu mencatat jumlah tertinggi dengan RM491.64 juta dan jumlah terendah oleh BBP Jasin iaitu RM75,000.

Katanya, BBP Jalan Kubu menyelamatkan harta benda bernilai RM4.75 juta, BBP Ayer Keroh (RM5.03 juta), BBP Bukit Katil (RM2.57 juta), BBP Merlimau (RM1.29 juta) dan BBP Alor Gajah (RM982,110). Diikuti BBP Masjid Tanah (RM3.47 juta), BBP Jasin Bestari (RM673,800) manakala BBP Padang Temu tidak mencatatkan sebarang rekod, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JBPM Melaka di Balai Bomba Bukit Katil di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat JBPM negeri yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah JBPM Melaka Noor Hisham Kamal dan kira-kira 160 anggota bomba di seluruh negeri.

Sementara itu, Kamarulzaman Malik berkata 535 kes kebakaran direkodkan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini yang mana kira-kira 60 peratus daripadanya disebabkan litar pintas.

“Kes kebakaran disebabkan litar pintas berikutan lambakan peralatan dari luar (negara) yang tidak mendapat kelulusan SIRIM dan boleh dipersoalkan tahap keselamatannya. Meskipun harga yang ditawarkan lebih murah namun pengguna perlu menitikberatkan aspek keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dan pengujian pemasangan elektrik perlu dilakukan secara berkala di samping memastikan kerja-kerja elektrik dilakukan oleh orang yang kompeten iaitu melalui khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar.

“Sekiranya ingin melakukan perubahan litar di rumah ataupun premis perlu menggunakan khidmat mereka yang mahir dan pakar mengenai elektrik. Jika (sekadar) sambung elektrik saja itu yang masalah. Sebaliknya, perlu ikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarulzaman Malik berkata menjelang musim cuti persekolahan dan perayaan sempena Aidiladha, JPBM Melaka proaktif melakukan pemeriksaan terhadap sistem keselamatan di premis-premis dan lokasi yang menjadi tumpuan pelancong di negeri ini.

“Setakat ini, lapan hotel di daerah Melaka Tengah dan satu di Alor Gajah telah diperiksa bermula akhir Julai lepas. Sehubungan itu, notis atau denda akan dikeluarkan kepada pemilik premis yang enggan mematuhi peraturan dan melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – Bernam

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.