Kerajaan Negeri Beri Kebenaran Patung Mirip Christ The Redeemer

Kerajaan negeri membenarkan patung mirip Christ The Redeemer di Brazil yang sebelum ini menjadi kontroversi, dikekalkan di lokasinya di Perkampungan Portugis, di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron bagaimanapun berkata, kebenaran diberikan sehingga akhir tahun ini sahaja selepas Pengerusi MCA negeri, Datuk Lim Ban Hong membuat rayuan dan dibincang serta diputuskan kerajaan negeri.

Menurutnya, keputusan itu diberikan kerana sambutan Hari Krismas peringkat kebangsaan akan diadakan di negeri ini, pada 26 Disember ini.

“Bagaimanapun, patung ini mesti diturunkan sebagaimana dipersetujui pemimpin setempat selepas sambutan Tahun Baharu dan dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.

“Sebagaimana saya katakan sebelum ini, kerajaan negeri akan berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk isu ini,” katanya.

Pada masa sama, Idris mengkritik pembangkang yang mengambil kesempatan di atas isu berkenaan untuk kepentingan mereka.

“Pemimpin pembangkang sebelum ini berkumpul di Perkampungan Portugis seolah-olah mereka mendesak kerajaan negeri untuk tidak merobohkan patung ini.

“Hakikatnya apa yang mereka lakukan ini hanyalah mengambil kesempatan dari usaha yang dijalankan MCA Melaka,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, patung berkenaan dibina di kawasan letak kereta Dataran Portugis sempena sambutan Krismas.

Bulan lalu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan notis arahan pemberhentian kerja selepas struktur berkenaan didapati didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit. Susulan isu berkenaan, Idris turut meminta MBMB mencari penyelesaian bersama bagi isu berkenaan termasuk mendapatkan kerjasama pemimpin setempat untuk mengenal pasti tapak bersesuaian untuk memindahkan binaan itu.

Sumber : Sinar Harian

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.