Cara kepimpinan Tun Perak Dicontohi Oleh Tun Dr Mahathir Mohamad

satu program percuma khas oleh orangmelaka.com

Benarkah kata orang bahawa sejarah itu berulang? Begitu juga kebijaksanaan dan tindakan pada masa lalu boleh dipelajari dan dicontohi untuk melihat tindakan dan perancangan pada masa kini? Jika benar apa dan bagaimanakah bentuknya? Adakah boleh dicontohi oleh pemimpin tertentu sebagai membuktikan persoalan tersebut? Bendahara Seri Paduka Raja Tun Perak atau lebih dikenali sebagai Tun Perak merupakan Bendahara Melaka kelima dan juga bendahara termasyur di antara semua bendahara Melaka.

tun1

Menariknya, Tun Perak telah berkhidmat sebagai penasihat dibawah empat pemerintahan sultan yang berbeza iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah. Di atas kecekapan dan kebijaksanaan Tun Perak, beliau telah berjaya meluaskan jajahan dengan menakluk negeri-negeri di pantai Selat Melaka seperti Rokan, Siak, Kampar dan Inderagiri di Pulau Sumatera. Bukan itu sahaja, negeri Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak juga telah dijadikan sebagai negeri jajahan taklukan Melaka manakala Kedah menjadi negeri naungan Melaka. Hal ini telah membantu dalam memperluaskan lagi Empayar Melaka dan berjaya mencapai kekuatan sendiri dari aspek politik, sosial dan ekonomi sekaligus menarik perhatian pedagang dari beberapa kerajaan besar dunia untuk datang berdagang.

tun2

Sejarah telah mengiktiraf Melaka sebagai sebuah kerajaan yang terkenal dengan aktiviti perdagangan dan tentu sekali sultan memberi kepercayaan penuh terhadap Tun Perak dalam mengendalikan segala urusan berkaitan perdagangan pedagang asing. Tun Perak memikirkan kesenangan buat Kerajaan Melaka pada masa akan datang iaitu dengan menjalinkan hubungan diplomatik bersama kerajaan-kerajaan besar dunia seperti China, Turki Uthmaniah, Arab Saudi, Rom dan banyak lagi. Bahkan, Tun Perak mencadangkan kepada sultan supaya melakukan pendamaian dengan Kerajaan Siam untuk manfaat bersama. Perkara itu dipersetujui oleh Kerajaan Siam berikutan Melaka diiktiraf sebagai sebuah kerajaan dibawah jagaan Kerajaan China. Maka, bermula hubungan diplomatik secara profesional antara Kerajaan Siam dan Melaka, serta mereka mula bergantung antara satu sama lain dalam membentuk keamanan dan keharmonian dalam sebarang kegiatan yang dilakukan bersama.

tun3

Melihat dari dasar politik dan hubungan diplomatik yang dipraktikkan Tun Perak, ia berjaya menarik perhatian seluruh dunia untuk menjalinkan hubungan dengan negeri Melaka. Dunia lebih yakin dengan kepesatan Melaka selepas melihat sendiri perkembangan ekonomi di Selat Melaka sekaligus menjadikan negeri di Nusantara itu sebagai pusat perdagangan dunia. Dua undang-undang telah dilaksanakan sepanjang berlakunya aktiviti perdagangan iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka supaya berlaku keadilan terhadap pedagang, pembeli dan faedah yang akan diterima oleh Melaka. Cara itu telah menjadikan ianya sebagai salah satu platform penting dalam pembangunan ekonomi Melaka. Ternyata Melaka pernah berada di era kegemilangan suatu masa dahulu apabila mereka satu-satunya negeri di Nusantara yang tidak perlu membayar cukai kepada mana-mana kerajaan besar dunia yang lain tetapi hanya digantikan dengan pertukaran hadiah.

tun4

Taraf yang dimiliki Kerajaan Melaka setanding dengan Kerajaan China, Rom, Turki Uthmaniah, Arab Saudi dan banyak lagi. Sumbangan Tun Perak tiada tolak tandingnya kerana usaha serta kebijaksanaan akal beliau yang berfikir jauh kehadapan telah banyak membantu Melaka menjadi sebuah empayar yang disegani dunia dek hubungan diplomatik yang dilaksanakan. Melihat pada situasi politik pada masa kini pula, bekas seorang pemimpin negara ini seperti mengulangi kegemilangan Kerajaan Melaka dalam menjalinkan hubungan diplomatik suatu masa dahulu. Sepanjang 22 tahun menggalas jawatan sebagai pemimpin utama pentadbiran negara telah banyak mengajar beliau menjadi lebih berwibawa dan ternyata kebanyakkan keputusan yang dilakukan beliau adalah diluar kebiasaan. Betapa bertuahnya Malaysia kerana mempunyai seorang pemimpin bernama Tun Dr Mahathir Mohammad (Tun M) kerana sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, banyak perubahan ke arah kebaikan yang dilakukan terhadap tanah air tercinta.

tun5

Seterusnya, beliau berfikiran jauh ke hadapan sepertinya sudah tahu apa yang perlu dilakukan pada masa akan datang. Menariknya, Tun M berjaya menakluki ekonomi serantau sehingga menjadikan pendapatan ekonomi Malaysia naik mendadak dan unggul ketika era pemerintahannya. Biarpun beliau tidak menjajah secara fizikal seperti yang ditonjolkan Tun Perak tetapi pengaruh ekonominya sangat besar di negara serantau. Melihat dari aspek jalinan hubungan diplomatik yang dibuat Tun M sememangnya sama seperti yang dilakukan Tun Perak. Misalnya, Tun M memberi fokus yang lebih dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara di Timur seperti Jepun, Korea dan China, bersesuaian dengan perlaksanaan Dasar Pandang Ke Timur. Dunia tahu bahawa negara-negara itu begitu pesat membangun dalam beberapa sektor, bahkan telah mendahului negara-negara di Barat sendiri. Tun M mahu kemajuan negara mereka dijadikan contoh buat kita semua dalam mencapai matlamat pembangunan negara supaya dapat meningkatkan prestasi pengurusan serta pembangunan sektor awam dan swasta.

tun6

Dalam perlaksanaan Dasar Pandang Ke Timur, Bapa Pemodenan itu menekankan dari aspek disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan perusahaan serta perniagaan dimana pekerja bekerja, keutamaan diberi kepada kumpulan dan tidak diri sendiri, tekanan daya pengeluaran yang bermutu tinggi, peningkatan kecekapan, pengurangan perbezaan serta perpisahan antara eksekutif untuk menitikberatkan kejayaan dalam jangka masa panjang. Ia bukannya semata-mata untuk memperolehi dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka masa pendek kerana Tun M percaya hal ini akan menyumbang kepada kemajuan Malaysia. Beliau kemudiannya memperkenalkan slogan ‘Malaysia Boleh’ membuktikan bahawa kita merupakan sebuah negara di Asia Tenggara yang mampu bergerak selari dengan kemajuan negara-negara dunia yang lain. Ianya turut membantu Tun M menaikkan populariti negara dalam mempromosikan Malaysia yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dunia. Tun M yakin, slogan ‘Malaysia Boleh’ merupakan salah satu dorongan berkuasa tinggi yang akan membantu ramai rakyat Malaysia dalam mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

tun7

Seterusnya, jelas sekali bahawa Tun Perak dan Tun M mempunyai karakter dan perjuangan bagi memajukan bangsanya dengan cara yang sama. Bezanya hanya zaman dan suasana pentadbiran sahaja, tetapi gaya dan kepimpinan kedua mereka begitu mirip sekali. Menurut Pensyarah Bahagian Kesusasteraan dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Rahimah A Hamid, Tun Perak dan Tun M mempunyai persamaan iaitu sama-sama berani bersuara kepada kuasa dalam mahupun luar. Bezanya, Tun Perak lebih berlapik bersesuaian dengan keadaan orang Melayu dan masyarakat ketika itu. Sementara Tun M lebih terbuka sifatnya. “Hal ini sesuai dengan keadaan hubungan diplomatik yang begitu mencabar dengan negara-negara berkuasa besar khususnya dari aspek ekonomi dan politik semasa, begitu juga dengan masyarakat yang didepaninya,” katanya kepada kepada Malaysian Digest. Persamaan antara Melaka dan Malaysia adalah kekuatan luar biasa terhadap jalinan hubungan diplomatik yang berjaya dilakukan oleh kedua orang tokoh yang dikagumi sepanjang zaman ini.

tun8

Tambah Dr Rahimah, hubungan diplomatik pada zaman Tun Perak dengan Siam, Majapahit, China, Patani dan lain-lain terjadi kerana bakat beliau sendiri dalam mentadbir negara, di samping kecintaan yang besar terhadap raja dan Kerajaan Melaka. Bagi Tun M pula, beliau juga mempunyai bakat memimpin yang hebat disamping kepercayaan yang jitu bahawa bangsa dan negara Malaysia ‘boleh’ menandingi dan mencapai sesuatu seperti yang dicapai oleh kuasa besar dunia yang lain. “Bahkan, suara Tun M turut didengari dan mempengaruhi dunia kerana beliau mengotakan setiap wawasannya sehingga setiap satu yang dihasratkan akan dipraktikkan supaya ianya dapat dilihat, didengari, dirasai, dihayati oleh pancaindera anak bangsanya dan bangsa lain juga di peringkat antarabangsa. Sememangnya, Tun M seorang pemimpin yang memiliki rasa percaya diri yang begitu tinggi,” katanya. Maka benarlah kata orang bahawa sejarah itu boleh berulang semula. Kita harus lebih memperkasakan pembelajaran dan pengajaran sejarah kepada anak bangsa. Iktibar daripada peristiwa lalu boleh dijadikan dorongan dalam memartabatkan negara serta bangsa.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.