Basikal Ofo Eco Green Ghaib

Kira-kira 50 kes membabitkan kehilangan basikal Ofo Eco Green yang disediakan untuk kemudahan pelancong di negeri ini direkodkan sejak mula diperkenalkan Ogos lalu. Pengarah Urusan Ofo Malaysia, Sam Lim bagaimanapun berkata, ia perkara biasa seperti berlaku di negara lain yang turut menyediakan perkhidmatan sama, namun pihaknya tidak memandang ringan perkara itu.

Sebelum ini katanya, kerajaan negeri menerusi syarikat Ofo Malaysia sebagai rakan kongsi menyediakan 520 basikal Ofo Eco Green untuk kemudahan orang ramai.

“Mungkin kemudahan ini masih baru dalam kalangan masyarakat di sini, tetapi saya percaya bila sudah biasa dan jumlah basikal semakin banyak, kecurian atau kehilangan akan jarang berlaku.

“Cuma di masa hadapan, kita akan fikirkan kaedah lebih baik bagi mengatasi masalah ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan polis, selain menyediakan pasukan ronda untuk memantau lokasi basikal berkenaan diletakkan, terutama selepas digunakan.

“Basikal Ofo Eco Green juga terdapat di 17 negara, dilengkapi dengan teknologi alat pengesan. Kebanyakan basikal yang hilang, kita akan dapat balik tetapi keadaannya tidak lagi sempurna seperti kehilangan tayar dan komponen.

“Saya percaya, kehilangan basikal tersebut sebelum ini dilakukan kumpulan remaja nakal yang tinggal di kawasan berhampiran, sekitar jam 3 hingga 5 pagi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya telah membuat laporan polis bulan lalu selepas berjaya menangkap tiga remaja ketika cubaan mencuri basikal berkenaan, dipercayai untuk mendapatkan alat ganti.

“Tiga remaja terbabit adalah pelajar sekolah menengah. Kita serahkan mereka kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata, kes masih disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Ini kes pertama yang kami terima tahun ini melibatkan basikal Ofo Eco Green,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut melahirkan rasa kecewa dengan perbuatan segelintir individu mencuri basikal yang ditempatkan di lokasi tumpuan pelancong.

Selain memudahkan orang ramai terutama pelancong bersiar-siar sekitar negeri ini dengan berbasikal, ia juga sebagai usaha menjaga alam sekitar.

Antara lokasi yang menyediakan perkhidmatan itu ialah di Menara Taming Sari, Restoran Melayu Melaka, Taman Rempah, Dataran 1Malaysia, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.