Usahawan Aiskrim Lulusan Ijazah Al- Quran Dan Sunnah

Seorang pelajar lulusan Ijazah al- Quran dan Sunnah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kreatif menghasilkan aiskrim pelbagai rasa dengan gabungan warna menarik selain turut menjamin status halal produk dihasilkan.

Noor Liyana Alias, 28, berkata, idea menghasilkan pencuci mulut itu datang apabila dia menyedari masih kurang pengusaha aiskrim Muslim, di kawasan tempat tinggalnya.

Menurutnya, atas rasa tanggungjawab untuk bantu masyarakat Islam mendapatkan aiskrim yang sedap dan halal, dia mengeluarkan modal sendiri kira-kira RM7,000 bagi mengikuti kursus membuat aiskrim di Kuantan, Pahang.

“Selepas sertai kursus ini, saya dibekalkan dengan kemudahan mesin, selain peralatan memotong aiskrim. Saya jalankan perniagaan aiskrim yang dinamakan RY Kifayah Kafe di Taman Intekma, berhadapan Universiti Teknologi (UiTM) Lendu.

“Perniagaan diusahakan sejak Januari lalu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk aiskrim yang halal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ujar Noor Liyana, walaupun baru berjinak dalam perniagaan itu, namun dia dapat menghasilkan lebih lapan perisa aiskrim seperti blue vanila, blueberry, durian, coklat, strawberi, cendol dan banana split, malahan turut menjual cendol yang dicampurkan aiskrim bagi memberi cita rasa yang enak dan berbeza.

Pelbagai perisa dan warna menjadi tarikan bagi penggemar untuk mencuba aiskrim dijual.
Menurutnya, perniagaan diusahakan bersama suaminya Muhammad Rabani Shukor, 28, beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang dibantu ahli keluarga terdekat.

“Bila saya lihat masih kurang orang Islam yang buat dan jual aiskrim keluaran sendiri, saya rasa bertanggungjawab untuk bantu mereka dapatkan bekalan aiskrim produk Muslim dengan mudah.

“Saya yakin dan percaya jika niat kita baik, ALLAH SWT akan permudahkan. Walaupun mungkin orang lihat jualan aiskrim untungnya tak banyak, namun saya puas bila dapat bantu orang ramai,” katanya.

Jelas Noor Liyana, dia berharap produk pemanis mulut yang dijual dengan harga serendah RM1.50 hingga RM 6.90 terus mendapat sokongan dan permintaan penduduk sekitar negeri ini, selain turut mempromosikan produknya di laman sosial menggunakan nama Aiskrim Kifayah RY Melaka.

Katanya, selain beroperasi di kafe yang berdekorasi santai, dia turut membuat perkhidmatan katering aiskrim terutama di majlis perkahwinan dan majlis hari jadi pada hari Sabtu dan Ahad.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.