Unit Polis Pelancong Berbasikal Pertama Di Malaysia

Polis Melaka melancarkan unit polis pelancong berbasikal bagi menjaga keselamatan pengunjung di tempat tumpuan pelancong di sekitar negeri ini khususnya di Melaka Tengah. Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata seramai 20 anggota polis pelancong akan ditugaskan membuat rondaan di beberapa tempat tumpuan orang ramai antaranya di Jonker Walk, kota A Famosa dan sekitar Menara Taming Sari.

“Diharap dengan kehadiran unit ini nanti, pelancong dan orang ramai akan rasa keselamatan mereka lebih terjamin sesuai dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri yang paling selamat didiami dan dilawati,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Beliau sebelum itu menerima 20 unit basikal sumbangan Syarikat OFO bagi tujuan rondaan sekitar tempat tumpuan pelancong di negeri ini. Beliau berkata tumpuan rondaan adalah pada hari cuti umum dan cuti sekolah, bermula daripada pondok polis pelancong di Jonker Walk ke kawasan sekitarnya.

Abdul Jalil berkata berdasarkan statistik, pada awal Januari 2017 hingga 23 Oktober 2017, indeks jenayah di negeri ini berkurangan -16 peratus iaitu daripada 2,890 kes pada 2016 kepada 2,439 kes tahun ini.

“Kebanyakan kes melibatkan kes ragut dan curi motosikal berlaku di sekitar Melaka Tengah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata walaupun kes remaja keluar lewat malam secara berkumpulan menaiki basikal lajak (basikal yang diubah suai) di negeri ini terkawal, pihaknya tetap memandang serius perkara tersebut.

“Di Melaka kita mengunakan kaedah memberi bimbingan dan nasihat kepada ibu bapa agar mereka mengambil tahu dan mengawal pergerakan anak mereka selepas 12 tengah malam.

“Remaja yang ditahan akan dibawa ke balai untuk ujian air kencing sebelum ibu bapa mereka dipanggil untuk diberi nasihat,” katanya.

Beliau berkata aktiviti tersebut bukan hanya bahaya pada diri sendiri tetapi turut berbahaya kepada pengguna jalan raya lain. – Bernama

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.