Suami Rayu Isteri Pulang

Seorang suami, Zaimi Sabtu, 39, merayu kepada isterinya supaya segera pulang ke pangkuan keluarga selepas wanita itu menghilangkan diri sejak enam hari lalu.

Isterinya, Noor Zuriaty Rani, 38, dikatakan kali terakhir dilihat ketika pulang berehat di rumah kakaknya di Klebang Besar kira-kira jam 12 tengahari pada 28 November lalu.

Menurut Zaimi, kebiasaan setiap hari bekerja, isterinya akan pulang berehat di rumah kakak dan kemudian masuk semula bekerja jam 5 petang sehingga 11 malam di pejabat sebuah syarikat kawalan keselamatan di Batu Berendam.

“Isteri memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna ungu gelap dan kehilangannya mula disedari sebaik gagal menghubunginya menerusi telefon bimbit. Paling merisaukan, apabila majikannya turut memberitahu isteri saya telah berhenti kerja.

“Puas saya berusaha mencari di beberapa lokasi termasuk menghubungi rumah saudara mara tetapi gagal menemuinya sehingga memaksa saya membuat satu laporan polis di Balai Polis Batang Tiga pada keesokannya,” katanya.

Menurut Zaimi yang tinggal menetap di Taman Merak Mas, Bukit Katil di sini, sepanjang perkahwinannya sejak 16 tahun lalu dia tidak mempunyai sebarang masalah rumah tangga.

“Hubungan kami selama ini baik dan jika ada sebarang perselisihan sekalipun tidaklah sampai dia menghilangkan diri sampai berhari-hari macam ini, paling tidak pun dia merajuk pergi ke rumah kakaknya sahaja.

“Sukar untuk saya hendak tafsirkan sama ada kehilangannya ada kaitan dengan jenayah atau tidak, cuma yang menghairankan saya apabila dia turut membawa geran kenderaan bersamanya,” katanya.

Zaimi berkata, paling merunsingkannya apabila memikirkan tentang nasib tiga orang anak berusia 15, 13 dan 11 tahun yang ditinggalkan.

“Perasan anak-anak terganggu disebabkan terlalu merindui ibunya malah di kalangan mereka ada beberapa kali bermimpi bertemu ibunya.

“Saya berharap isteri saya, Noor Zuriaty segeralah pulang, kesianlah anak-anak kerana mereka amat memerlukan kasih sayang ibu apatah lagi kini musim cuti persekolahan, banyak masa perlu diberikan pada anak-anak.

“Sekiranya ada sebarang masalah, Ayah bersedia berbincang,” katanya.

Justeru, dia merayu orang ramai yang mengetahui lokasi isterinya berada harap dapat menghubunginya di talian 010-7965373 atau 011-15345373

Sumber : Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.