Sindiket MC Palsu Di Melaka Tumpas

Dua lelaki ditahan kerana terlibat dalam sindiket pemalsuan dan penjualan lebih 300 sijil cuti sakit menggunakan nama Klinik Kesihatan Peringgit dan doktor yang bertugas dengan mengaut keuntungan kira-kira RM10,500 di sini sejak Jun lepas.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sun Teoh Tia berkata, mereka terdiri daripada seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam dan seorang pekerja swasta, masing-masing berusia 19 dan 21 tahun

Beliau berkata, pelajar terbabit ditahan ketika sedang menunggu pembeli sijil tersebut di hadapan sebuah stesen minyak di Peringgit di sini kira-kira 9 malam pada Isnin, manakala pekerja swasta itu pula ditahan di sebuah rumah di Taman Peringgit Jaya kira-kira 10.30 malam hari sama.

“Ketika suspek kedua ditahan beliau sedang melakukan kerja mencetak sijil cuti sakit itu dan beberapa peralatan yang digunakan untuk membuat sijil berkenaan termasuk mesin pencetak, komputer, kertas berwarna kuning menyerupai warna sijil asal serta cop tarikh dan kayu tertera nama pegawai perubatan klinik dirampas.

“Kita juga turut merampas lima sijil cuti sakit palsu yang tertera cop Klinik Kesihatan Peringgit dan nama seorang pegawai perubatan klinik itu daripada suspek pertama,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Baderulhisham Baharudin, Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah Dr Rusdi Abd Rahman dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Peringgit Dr Rohaiza Roslan.

Mengulas lanjut, Teoh Tia berkata modus operandi sindiket itu adalah mencetak dan menjual sijil cuti sakit yang menyerupai sijil cuti sakit asal, dilengkapi cop nama doktor dan pembeli hanya perlu mengisi sendiri butir diri serta tarikh cuti sakit yang dikehendaki.

Beliau berkata suspek kedua yang juga dalang sindiket itu mengenakan bayaran RM10 bagi sekeping sijil cuti sakit palsu yang dikeluarkan kepada penjual dan ia dijual semula pada harga RM35 sekeping.

“Sindiket pemalsuan dan penjualan sijil cuti sakit itu berjaya ditumpaskan hasil maklumat orang awam dan siasatan awal mendapati sijil cuti sakit palsu ini dijual di sekitar Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

“Sijil berkenaan dijual secara terus oleh dalang utama kepada penjual yang kemudiannya akan mencari pembeli. Kita percaya lebih kurang lima suspek terlibat dalam penjualan sijil ini masih bebas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata majikan dinasihatkan agar menyemak cuti sakit yang dikemukakan pekerja mereka dan segera laporkan kepada polis sekiranya dikesan berlaku penipuan.

Katanya orang ramai juga dinasihatkan tidak membeli sijil cuti sakit palsu kerana mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai dokumen benar.

Sementara itu, Dr Rusdi berkata pengeluaran sijil cuti sakit klinik kesihatan atau hospital kerajaan di seluruh negara mempunyai prosedur tertentu dan tidak mudah dikeluarkan tanpa sebab atau alasan kukuh.

Beliau berkata selain itu, buku sijil cuti sakit yang diberi kepada pegawai perubatan akan diserahkan kepada individu tertentu yang dipertanggungjawabkan menyimpan buku berkenaan selepas tamat sesi rawatan klinik atau ketika doktor tersebut tiada di klinik.

“Kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket pemalsuan dan penjualan sijil cuti sakit ini dapat menangkis anggapan negatif sesetengah pihak bahawa MC dari klinik kerajaan mudah diperoleh,” katanya.-Bernama

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.