Pesisir Pantai Pengkalan Balak Dan Siput Remisnya

Pantai Pengkalan Balak yang terletak di dalam Daerah Alor Gajah bukan sahaja merupakan tempat pendaratan penyu, malah di persisir kawasan pantainya juga kaya dengan siput remis. Bagi mereka yang kurang mengenali remis atau disebut lala kecil. Ia adalah sejenis moluska bercengkerang yang boleh didapati di pesisir pantai.

remis1

Bentuknya seakan lala, namun saiznya lebih kecil dan hanya diperoleh dengan banyak sekitar bulan Jun hingga Disember setiap tahun. Tidak seperti keluarga siput lain seperti kupang, tiram, siput sedut mahupun kerang, remis hampir tidak dikenali oleh sesetengah individu.

Kulit remis umumnya mempunyai pelbagai corak yang unik dan berjalur. Malah, ada yang tidak mempunyai corak. Namun, ia mempunyai warna tertentu seperti hitam, putih dan coklat. Mencari makanan eksotik itu agak unik. Anda hanya perlu mengorek tanah sedalam kira-kira satu meter bagi mencari siput remis yang terdapat dalam pasir laut kira-kira satu meter dari gigi air laut.

remis2

Selain bermandi-manda dan merehatkan minda sambil menikmati laut biru Selat Melaka bersama keluarga, aktiviti mencari siput remis menjadi sebahagian perkara menyeronokkan bagi masyarakat setempat dan pengunjung pantai. Namun bagi pengemar siput remis ini, untuk mencarinya bukanlah sesuatu yang mudah, ini kerana tidak semua kawasan di persisiran pantai ini merupakan habitat remis. Kepada yang ingin merasai pengalaman manis mencari remis bolehlah berkunjung ke Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka. Pasti pengalaman ini cukup indah untuk diri dan keluarga anda.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.