Melaka Sedia Laksana Kemudahan Pinjaman Kredit Perumahan

Melaka sedia melaksanakan kaedah kemudahan pinjaman secara kredit melalui institusi kewangan terhadap pembeli dalam usaha membantu golongan sasaran khususnya rakyat di negeri itu memiliki kediaman sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, cadangan itu antara inisiatif kerajaan yang bertujuan bagi mengelak berlakunya projek perumahan tidak terjual di pasaran sekali gus mengurangkan bebanan orang ramai mendapatkan kemudahan pembiayaan hartanah.

“Kerajaan sudah berbincang dengan institusi kewangan dan pinjaman bank menjadi kekangan utama kepada pembeli ketika ini.

“Jadi, jika ada kerjasama antara pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pemaju perumahan, mereka duduk berbincang mengenai kaedah kemudahan kredit yang disediakan institusi kewangan dan dijamin kementerian, ia akan menyelesaikan banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Contoh Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Vista Belimbing membabitkan 350 unit perumahan Fasa 1, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Idris berkata, beberapa syarat juga dikenakan kepada pemohon kemudahan kredit itu termasuk mewajibkan mereka menetap di rumah yang dibeli.

“Jika pihak kementerian bersetuju dalam hal ini, kita laksanakan sebagai perintis kepada pemaju menyediakan kemudahan kredit ini kepada pembeli namun ia boleh dikaji terlebih dulu,” katanya yang turut menyokong idea Menteri, Tan Sri Noh Omar supaya pemaju perumahan yang layak boleh memohon lesen pinjaman wang untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pembeli hartanah, baru-baru ini.

Lesen berkenaan akan dikeluarkan oleh KPKT mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011.

Sumber : Berita Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.