200 Sukarelawan Melaka Hantar Bantuan Ke Pulau Pinang

Kerajaan negeri menghantar lebih 200 sukarelawan termasuk kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi misi bantuan pasca banjir ke Pulau Pinang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Naim Abu Bakar, berkata, bantuan yang dihantar lebih kepada bantuan berbentuk teknikal dan fizikal bagi membantu mangsa banjir di Seberang Prai Utara, Bukit Mertajam dan beberapa kawasan lain terutama yang melibatkan penduduk kampung bagi membantu melakukan kerja pembersihan dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Menurutnya, biarpun berbeza ideologi dengan kerajaan negeri itu namun itu bukan penghalang untuk Melaka menghulurkan bantuan kemanusiaan malah misi itu juga disertai tenaga pakar berkaitan air dari Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan misi yang sama juga pernah dilakukan ketika negeri Kelantan dilanda banjir pada 2014.

“Semalam seramai 200 belia dihantar menyertai misi bantuan itu dan diikuti pada hari ini melibatkan keempat-empat buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka.

“Misi ini memberi tumpuan kepada usaha melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terlibat bencana terutama melibatkan penduduk kampung,” katanya.

Naim berkata demikian kepada pemberita selepas perlepasan Pasukan Bencana Banjir ke Pulau Pinang di depan Dewan Seri Negeri, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Sazali Muhd Din; Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Murad Husin; YDP Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Ismail Hasim dan YDP Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Shadan Othman.

Pada majlis itu, 45 peserta dan 15 kenderaan PBT termasuk kenderaan pacuan empat roda dan lori menyertai misi tersebut.

Sumber : Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.