Makam Sultan Melaka Ke 7 Di Johor

Makam sultan Melaka yang berada di Johor ialah Sultan Alauddin Riayat Shah yang merupakan Sultan Melaka Ke-7. Baginda menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Mansur Shah pada 1477. Baginda merupakan sultan yang sangat mementingkan keamanan negeri Melaka. seperti yang telah tercatat dalam sejarah baginda selalu menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda di sekitar Kota Melaka pada waktu malam.

sultan1

Ini kerana pada satu ketika dahulu dibawah pemerintahannya telah berlaku siri insiden kecurian yang kerap di Kota Melaka di kalangan rakyat. Rombongan penyamaran yang diketuai Baginda telah berjaya menangkap pencuri-pencuri yang selalu menimbulkan kegelisahan dikalangan penduduk dan pedagang di Negeri Melaka, lalu mereka semua diusir dan dibunuh oleh titah Baginda. Kesannya Melaka menjadi negeri yang selamat untuk para perdagang yang berkunjung ke Negeri ini. Baginda juga tercatat dalam sejarah sebagai seorang sultan yang adil dan warak.

sultan2

Namun, kedudukan Baginda sebagai Sultan Melaka telah dicabar oleh kekandanya, iaitu Raja Muhammmad (pemerintah negeri Pahang, sebuah wilayah di bawah naungan pemerintahan Melaka) kerana Raja Muhammad mendakwa bahawa beliau berhak menduduki takhta kerajaan Melaka. Raja Muhammad ditabalkan oleh Sultan Mansur sebagai pemerintah Pahang selepas Tun Perak menolak beliau dari dijadikan Sultan Melaka kerana insiden beliau membunuh anak Tun Perak (Tun Besar) yang menyebabkan destarnya jatuh akibat terkena bola yang ditimbang oleh Tun Besar dalam satu permainan sepak raga. Sultan Alauddin mempunyai banyak musuh, sama ada di dalam atau di luar Melaka. Kesungguhan Baginda menjaga keselamatan Melaka menyebabkan beberapa pembesar Melaka tergugat, khususnya Temenggong yang ditempelak hebat kerana gagal menjaga keselamatan negeri.

sultan3

Kedudukan makam beliau yang terlalu jauh dari pusat pentadbiran Melaka memberikan gambaran telah berlaku penyingkiran fizikal dan wibawa Raja yang berdaulat dalam sejarah Melayu Melaka. Ia berpunca daripada suasana dan sikap tamak, dengki, negatif segelintir masyarakatnya yang bercita-cita besar serta persaingan antara pembesar di Istana.

Pada akhir zaman pemerintahan baginda telah berlaku pergolakan politik di dalam Istana. Ada pendapat mengatakan baginda telah diracun. Setelah mangkat, Baginda tidak dimakamkan di Melaka sebaliknya dimakamkan di Bukit Keramat, Kampung Raja, Pagoh yang ketika itu adalah jajahan Melaka. Setelah baginda terkena racun, pembesar-pembesar yang setia melarikan Baginda ke Pagoh. Mereka membuka satu penempatan di Kampung Raja yang ada sekarang ini. Setelah Baginda mangkat, jasadnya terus dimakamkan di kampung itu. Sultan Alauddin telah jatuh sakit, mungkin juga kerana diracun semasa sedang berburu di Pagoh dan terus mangkat. Jenazah baginda tidak dibawa pulang ke Melaka tetapi terus dimakamkan di Pagoh.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.