Keunikan Nama Taboh Naning Dan Adat Perpatihnya

Daerah Taboh Naning yang bersempadan dengan Rembau, Negeri Sembilan walaupun agak terpencil dari kepesatan pusat bandar mempunyai keunikan dan tarikan tersendiri. Menurut penduduk setempat, asal-usul daerah ini berkisar mengenai penyengat kuning dan tabuh atau beduk iaitu sejenis alat yang dipalu apabila masuk waktu solat atau berlaku kematian.

taboh1

Menyingkap kembali sejarahnya pada abad ke-13, daerah ini mula diteroka oleh Datuk Pepatih Nan Sebatang dari Minangkabau, Sumatera yang turut disertai sekumpulan orang tempatan telah membuka penempatan baru di Bukit Penyalang.Sebelum sampai ke Bukit Penyalang atau suatu masa dahulu dikenali sebagai Bukit Bisu, rombongan Pepatih Nan Sebatang yang juga merupakan pengasas adat Pepatih telah menemui tiga buah pulau sejajar. Di pulau itu dijumpai sarang penyengat kuning yang sangat berbisa atau dikenali sebagai naning dan juga sebuah tabuh. Dikatakan, tabuh yang dijumpai pada hari itu telah berlaku peristiwa ganjil di mana tabuh itu berbunyi dengan sendirinya setiap petang Jumaat dan sekiranya berlaku perkara tidak diingini di kawasan itu.

taboh2

Selain keunikan sejarahnya, Taboh Naning juga merupakan satu-satunya wilayah di luar Negeri Sembilan yang masih kuat mengamalkan adat Pepatih. Seperti di Negeri Sembilan, adat Pepatih Naning diketuai oleh seorang penghulu yang dikenali Datuk Undang Naning. Datuk Undang Naning ke-20, Orang Kaya Seri Raja Merah, Abdul Azis Mulud berkata, adat Pepatih Naning tidak jauh bezanya dengan adat Pepatih yang kuat diamalkan di Negeri Sembilan yang juga mengikut perlembaan adat atau dikenali terombo adat Pepatih. Menurutnya, peranan Datuk Undang Naning adalah bertumpu kepada pentadbiran adat seperti urusan perkahwinan, kelahiran, kematian serta menguruskan upacara adat yang lain.

taboh3

Bagaimanapun, pada masa ini tanggungjawab Datuk Undang Naning lebih bertumpu kepada memelihara keharmonian dan perpaduan suku-suku dengan kerjasama tua dan buapak yang menjadi tulang belakang dalam adat Pepatih Naning. Kuasa Datuk Undang Naning tidak terhad kepada mentadbir adat di seluruh wilayah adat sahaja tetapi boleh menjatuhkan hukuman bagi setiap kesalahan adat atas nasihat Lembaga Adat yang dianggotai Tiang Balai, Isi Balai dan Pembesar Waris. Taboh Naning yang kaya dengan keunikan adat dan budaya ini juga dilihat mempunyai potensi di segi pelancongan kerana mempunyai pelbagai lokasi menarik yang mampu menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Bagi yang meminati sejarah, sudah semestinya Masjid Taboh Naning yang terletak dua kilometer dari Tol Simpang Ampat menjadi destinasi wajib dilawati kerana menempatkan makam Datuk Dol Said yang merupakan Undang Naning kesembilan.

Dol Said tercatat dalam sejarah negara ini apabila berjaya mengalahkan British pada 1831 semasa Perang Naning dengan menggunakan taktik gerila semasa melancarkan serangan. Di sekitar masjid itu terdapat sebuah kawasan yang dikenali Perigi Gaung yang menjadi aspek penting dalam adat Pepatih Naning iaitu dalam soal perlantikan setiap Undang Naning. Undang Naning yang baru dilantik akan bersiram di perigi itu sebelum diusung di atas tandu masuk ke dalam masjid bagi menjalankan upacara adat pelantikan berkenaan.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.