Kenali Bapa Kemerdekaan Yang Berasal Dari Melaka.

Hari ini kami www.orangmelaka.com ingin membawa kisah peribadi seorang Tokoh Kemerdekaan Negara. Beliau merupakan diantara tokoh kemerdekaan negara yang telah berhempas-pulas untuk mendapatkan kemerdekaan bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun V.T Sambathan. Beliau yang kami maksudkan ialah Tun Dato Sri Tan Cheng Lock anak jati kelahiran Melaka dan merupakan Presiden pertama Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) pada tahun 1949.

Tun1

Dilahirkan di Jalan Heeren, Melaka, Tun Tan Cheng Lock ialah anak ketiga dalam sebuah keluarga yang terdiri daripada tujuh adik beradik. Pada tahun 1899, beliau memperoleh pendidikan Inggeris di Sekolah Tinggi Melaka, dan kemudiannya di Institusi Raffles di Singapura. Selepas tamat persekolahan, Tan bertugas sebagai seorang guru selama enam tahun sebelum meletakkan jawatannya untuk menjadi Penolong Pengurus di Ladang Getah Bukit Kajang Berhad, sebuah ladang getah yang dimiliki oleh saudara sepupunya. Pada tahun 1909, beliau memulakan syarikat sendiri yang mula-mulanya digelarkan Ladang Getah Melaka Pindah Berhad dan kemudiannya, Ladang Getah Melaka Bersatu Berhad dan akhirnya Ladang Ayer Molek Berhad.

Tun2

Rumah Tempat Tun Dilahirkan

Pada tahun 1912, Tan dilantik oleh kerajaan British sebagai Pesuruhjaya Majlis Melaka serta Jaksa Pendamai Melaka. Pada tahun 1914, Tan menghidupkan semula pertubuhan Sukarelawan Cina Melaka dan menjadi ahli biasanya sehingga 1919. Pada tahun berikutnya, iaitu 1915, beliau menghidupkan semula Persatuan Orang Cina Peranakan-British (SCBA), sebuah persatuan di Melaka yang bertujuan untuk melindungi kepentingan orang Cina Peranakan di Negeri-negeri Selat, dan dipilih sebagai Presidennya.

Tun3

Tunku, Paul Marshall dan Tun Tan Cheng Lock ketika menghadiri Rundingan Baling bersama pemimpin MCP pada 28 Disember 1953n

Pada 27 Februari 1949, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Cina yang lain seperti Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee, Tan mengasaskan Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) dan menjadi presidennya yang pertama. Sebagai Presiden MCA, Tan mengetuai kempen-kempen di seluruh Tanah Melayu. Kempen-kempen itu menarik hampir 200,000 ahli dan cawangan-cawangan MCA ditubuhkan.

Tun4

Tan membawa MCA ke Konvensyen Kebangsaan yang ditajai oleh UMNO pada 23 Ogos 1953, dan sebuah perjanjian kerjasama dimeterai antara UMNO dan MCA dengan persefahaman untuk mencapai kemerdekaan melalui cara yang aman. Pembentukan Parti Perikatan antara MCA, UMNO, dan MIC mencepatkan proses kemerdekaan ketika Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam pilihan raya persekutuan pada tahun 1955. Cita-cita Tan untuk memperoleh taraf kewarganegaraan untuk orang-orang Cina di Tanah Melayu dicapai ketika UMNO menerima cadangan itu dan memasukkannya dalam memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid yang ditugasi untuk menulis Perlembagaan Persekutuan.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.