Isu Kilang Dedak Perlu Penyelesaian Teliti

Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) bersedia membantu mencari jalan penyelesaian berhubung isu bekas kilang dedak lama di Jalan Tun Ali yang menjadi pertikaian antara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan sekumpulan anak muda penggemar seni grafiti dan sukan skateboard.

Presiden MGBM, Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak dan beliau percaya satu penyelesaian akan dapat dicapai dalam masa terdekat ini.

“MGBM sedang meneliti isu ini dengan lebih mendalam lagi dan semalam kami telah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak sama ada di pihak MBMB mahupun kumpulan remaja terbabit.

“Namun, pertemuan seterusnya di antara kedua-duanya akan diusahakan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Mohd Ridhwan yang juga Ahli Majlis MBMB mewakili belia juga yakin usaha sama dan hubungan baik telah terjalin di antara belia di Melaka bersama MBMB selama ini akan menjadi asas di dalam pertemuan itu nanti.

PKR Mahu Kilang Dedak Terus Jadi Pusat Komuniti

Selagi belum ada perancangan yang jelas, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sewajarnya membiarkan lokasi di kilang dedak lama di Jalan Tun Ali di sini terus dijadikan sebagai pusat kegiatan anak-anak muda.

Sambil menyatakan kemarahan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya mendesak PBT terbabit supaya mempertimbangkan semula kawasan berkenaan terus dijadikan sebagai pusat komuniti untuk mereka (anak-anak muda).

“Saya begitu marah dengan PBT di dalam hal ini, kerana pada saya selagi PBT belum ada lagi perancangan yang jelas, biarkanlah anak-anak muda jadikan lokasi itu sebagai pusat aktiviti mereka daripada ia kosong tiada digunakan.

“Macam kita tengok di Pulau Pinang mereka ada mural atau sesetengah negara luar misalnya di Jerman di dalam persidangan antarabangsa mengenai hijau saya tengok negara berkenaan sediakan tempat khas untuk anak muda ini melahirkan kreativiti sendiri,” katanya.

Beliau turut mendakwa MBMB gagal melaksanakan perkara berkaitan perancangan bandar khususnya soal hak komuniti.

“Bagi PKR, PBT gagal untuk meraikan semua pihak terutama orang muda di dalam memberi peluang meningkatkan kreativiti mereka.

“Sepatutnya, bila ada sekumpulan anak-anak muda memilih satu tempat yang dikatakan sesuai untuk mereka menjalankan sesuatu aktiviti atau menampilkan kreativiti, biarlah ia terus berkembang di situ,” katanya.

Justeru, jelas beliau, PKR negeri ingin menyatakan komitmen sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi peluang di dalam masa 100 hari kami akan pastikan lokasi berkenaan dijadikan sebagai pusat kreativiti orang-orang muda.

“Dalam masa sama kita akan jadikan ia sebagai satu tarikan pelancong di mana sekumpulan anak-anak muda yang tidak terikat dengan struktur persatuan melaksanakan apa juga aktiviti sihat di situ.

“Dalam masa terdekat ini, kami akan mengadakan pertemuan dengan anak-anak muda terlibat untuk menyatakan kesediakan kami terhadap isu ini,” katanya.

Sinar Harian minggu lalu melaporkan sekumpulan anak muda melahirkan kekecewaan apabila kawasan bangunan bekas kilang dedak lama di Jalan Tun Ali, di sini yang dijadikan tempat aktiviti bermain skateboard serta dihiasi dengan lukisan grafiti dipadamkan MBMB.

Sumber : Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.