Dua Geng Tebuk Tumpas Di Sg Udang

Dua lelaki ‘Geng Tebuk’ mati ditembak polis di sebuah pasar raya di Taman Bandar Baru, Sungai Udang, di sini, selepas dipercayai cuba memecah masuk sebuah kedai emas awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, suspek yang dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an melepaskan tembakan ke arah polis sebaik mengetahui dikepung dan diarah menyerah diri. Seorang daripadanya juga melibas parang panjang ke arah polis.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Tengah mengepung kawasan berkenaan selepas menerima maklumat awam mengenai sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah pasar raya di Sungai Udang.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan berkenaan mendapati tiga suspek sedang cuba memecah masuk sebuah pasar raya.

“Polis memperkenalkan diri, serentak itu tiga suspek terbabit melarikan diri sebelum seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah polis, manakala seorang lagi melibaskan parang panjang ketika cuba ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian berbalas tembakan itu, dua suspek maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri.

Ketika ini, polis giat memburu seorang suspek yang masih bebas dipercayai masih berada di Sungai Udang.

Abdul Jalil berkata, tiga suspek itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 14 kes tebuk (pecah masuk premis) kedai emas di Nilai, Negeri Sembilan; Gebeng (Pahang); Alor Gajah (Melaka); Lembah Klang dan Terengganu.

“Polis percaya suspek sama terbabit dalam beberapa kejadian lain susulan modus operandi yang digunakan iaitu memotong serta menebuk dinding dalam pasar raya untuk merompak kedai emas pada waktu malam sekitar jam 11 malam hingga jam 7 pagi ketika pasar raya ditutup.

Beliau berkata, kereta digunakan suspek juga dipercayai kenderaan dicuri di Johor Jaya, Johor pada 2016.

Polis merampas beberapa senjata termasuk sepucuk pistol jenis revolver, sebilah parang panjang, pemotong besi bersama dua bilah mata pemotong yang sudah digunakan serta kuku kambing.

“Polis percaya sebanyak 14 kes berjaya diselesaikan dengan nilai kerugian mencecah RM1 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangmelaka.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.