Berakhirnya Eye On Malaysia Di Melaka

Kewujudannya Tulisan Eye On Malaysia di Melaka dianggap sebagai nilai tambah untuk mencapai sasaran menjadi negeri maju pada tahun 2010 dengan perkembangan sosioekonomi yang memberangsangkan. Pada asalnya, buaian roda Eye On Malaysia terletak Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur dan telah dipindahkan ke Melaka selepas kontraknya tamat pada 31 Ogos 2008.

eyeon1

Selepas kontraknya tamat Eye On Malaysia telah diambil alih oleh kerajaan negeri Melaka melalui anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Melaka Berhad (KMB). Terletak di tanah seluas 1.6 hektar milik kerajaan negeri Melaka di sebelah tapak projek Marina Melaka di muara Sungai Melaka, Eye On Malaysia akan membawa anda menikmati pemandangan Sungai Melaka serta Selat Melaka yang mempersonakan terutamanya pada waktu malam.

Buaian roda itu akan melakukan empat pusingan selama 12 minit dengan kemudahan 42 gondola berhawa dingin setiap satu yang boleh memuatkan lapan orang penumpang. Direka mengikut piawaian keselamatan paling tinggi di dunia, Pengurus Operasinya, Graeme Cross berkata, buaian roda seberat 400 tan dan setinggi 60 meter itu dibina dengan kos keseluruhan berjumlah RM30 juta. Pihaknya akan memastikan Eye On Malaysia melalui pelbagai pemeriksaan ketat setiap tiga bulan terutamanya pada bahagian struktur sebelum ia memulakan operasinya.

eyeon3

Pemandangan Dari Eye On Malaysia Melaka

Eye On Malaysia merupakan buaian roda ‘boleh pindah’ terbesar di dunia dan yang pertama seumpamanya beroperasi di Asia. Ketika menaiki Eye On Malaysia, antara mercu tanda Melaka yang jelas kelihatan pada puncak buaian roda berkenaan ialah Menara Taming Sari dan sekitar Bandar Melaka. Bagi orang dewasa, harga tiket yang kenakan ialah RM20 manakala RM10 untuk kanak-kanak (tiga hingga 12 tahun), warga emas (RM17) dan pelajar yang mempunyai kad pelajar dikenakan bayaran sebanyak RM16.

Bagaimanapun, buaian itu disita pada 7 Jan 2010 dan operasinya terpaksa dihentikan setelah syarikat Belgium, Fitraco NV, pemilik asal buaian gergasi itu memfailkan saman terhadap syarikat Eye On Malaysia Sdn. Bhd. dan MST Ad Suria yang bertanggungjawab membawa masuk roda berkenaan kerana gagal melunaskan tunggakan hutang berjumlah RM17 juta bagi menyewa dan membawa buaian berkenaan ke Malaysia pada 2006. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Febuari 2010 kemudian membenarkan syarikat dari Belgium itu memindah keluar roda itu.

eyeon2

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.