Alat – Alat Kebesaran Kesultanan Melaka Diwarisi Baginda Sultan Perak

Hari ini www.orangmelaka.com ini membawa kisah peninggalan beberapa alat kebesaran Kesultanan Melayu Melaka, yang masih wujud meskipun ianya telah berusia ratusan tahun. Beberapa alat kebesaran Kesultanan Melaka ini, kini di warisi oleh Baginda Sultan Perak.

alat1

Alat-alat kebesaran itu hanya diĀ­gunakan sewaktu istiadat pertabalan sultan dan diguna pakai oleh sultan dan raja permaisuri sahaja. Alat-alat kebesaran itu dibawa ke negeri Perak dari Kampar di Sumatera oleh Sultan Perak yang pertama, Sultan Mudzaffar Shah (Anak Sultan Melaka) pada abad ke-16 antaranya Pedang Cura Simanja Kini dan Keris Taming Sari. Pedang Cura Si Manja Kini, Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Cap Halilitar akan digunakan semasa istiadat perĀ­tabalan.

CURA SI MANJA KINI

Mengikut cerita, pedang ini pada asalnya adalah kepunyaan Sang Sapurba (juga digelar Nila Utama) yang tiba-tiba menjelma di Bukit Si Guntang Mahameru bersama-sama dengan dua orang adindanya. Mengikut Hikayat Ketinggian Salasilah Perak keturunan Sultan Perak adalah berasal dari keturunan Sang Sapurba, anakanda kepada Raja Suran dan Puteri Mahtab al-Bahari (puteri kepada Raja Aftab al-Ardzi). Adalah dipercayai Sang Sapurba telah memerintahkan Permasku Mambang untuk membunuh seekor naga yang diberi gelaran Saktimuna dengan Pedang CURA SI MANJA KINI. Pada waktu itu Saktimuna sedang mengancam penduduk-penduduk di Minangkabau. Pedang yang sama juga digunakan oleh Parameswara semasa beliau ditabalkan sebagai Maharaja Melaka yang pertama. Nama gelaran Maharaja ini ditukarkan kepada Sultan apabila Parameswara menganut Agama Islam.

Almarhum Sultan Mahmud, Sultan terakhir Negeri Melaka, mewarisi pedang ini dan disimpan oleh Baginda sehingga Baginda menjadi Sultan Kampar-Sumatera selepas Baginda berjaya melarikan diri dari serangan Portugis pada tahun 1511. Baginda mangkat di Kampar pada tahun 1530.

Sebelum mangkat, Baginda Sultan Mahmud telah menghantar anakandanya Raja Mudzaffar Shah untuk menjadi Sultan yang pertama bagi Negeri Perak. Di dalam keberangkatan Raja Mudzaffar Shah, Baginda dilengkapkan dengan pedang ini dan alat-alat kebesaran kesultanan.

alat2

Curah Simanja Kini

KERIS TAMING SARI

Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi Jawatan Laksamana Melaka, yang akhir sekali dijawat oleh Hang Tuah. Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh. Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik mengadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk mengadap sendiri ke bawah Duli Sultan kerana gagal untuk mendapat Puteri Gunung Ledang untuk baginda. Tatkala Sultan Mahmud meninggalkan Melaka baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar-Sumatera. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzaffar Shah, yang kemudiannya berangkat ke Perak.

alat3

Keris Kebanggaan Negeri Melaka

RANTAI BUNGA NYIUR

Rantai emas panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang oleh Baginda Sultan bersama dengan pakaian kebangsaan rasmi dalam semua Istiadat Rasmi Negeri Perak termasuk Istiadat Pertabalan.

alat4

PONTOH BERNAGA DAN PONTOH ULAR LIDI

Potoh Bernaga ialah sepasng gelang emas berkepala naga yang disarungkan ke lengan kanan dan kiri Paduka Seri Sultan dalam Istiadat Rasmi Kebesaran Negeri.

alat6

Potoh Ular Lidi ialah sepasang gelang emas berbentuk kepada ular lidi dan dipakai di kedua-dua belah lengan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri dalam Istiadat rasmi Kebesaran Negeri.

alat5

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.