12 Jam Urus Jenazah Bapa Sebelum Dikebumikan

Seorang lelaki mendakwa proses menguruskan jenazah bapanya memakan masa 12 jam disebabkan masalah dihadapi ambulans dan kelewatan kenderaan polis. Mohd Saifullah Mansor, 27, mendakwa, kejadian berlaku 16 Disember lalu memberi kesan mendalam dalam kalangan keluarga, malah turut membuatkan mereka sedih dan kesal urusan jenazah yang sepatutnya dilakukan cepat terpaksa berlanjutan.

Menceritakan kejadian, Mohd Saifullah berkata, bapanya meninggal dunia kira-kira 12 tengah hari ketika sedang berada dalam bas sekolahnya yang sedang diparkir di Pulau Gadong untuk mengambil penumpang.

Menurutnya, dia yang berada di rumah di Krubong dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan oleh seorang kawan bapanya.

Ketika tiba di tempat kejadian, katanya, ambulans yang dipanggil masih belum tiba, sebaliknya tiba 10 minit kemudian untuk mengesahkan kematian bapanya.

“Apabila saya minta ambulans membawa jenazah ke hospital, pihak ambulans kata mereka tidak boleh lakukan demikian kerana terpaksa mengikut prosedur. Sebaliknya, mereka menyuruh saya membawa jenazah pulang ke rumah sebelum membuat laporan polis.

“Sebagai seorang yang tiada pengalaman dalam perkara ini, saya sememangnya mengharapkan bantuan untuk menguruskan jenazah,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mendapatkan bantuan bapa dan ibu mertuanya untuk membawa jenazah ke rumah, sebelum dia pergi ke balai polis Tanjung Minyak untuk membuat laporan.

Apabila tiba di balai, katanya, dia diminta membuat laporan di Balai polis Batang Tiga memandangkan tempat kejadian berada di bawah balai berkenaan.

“Apabila tiba di Balai polis Batang Tiga, saya diminta menunggu kerana kenderaan polis di balai berkenaan rosak. Saya kemudian dibenarkan pulang dan disuruh menunggu kenderaan polis di rumah.

“Kami menelefon beberapa kali selepas lama menunggu dan dimaklumkan kenderaan sudah lama keluar. Kenderaan polis hanya tiba di rumah dalam jam 5 petang untuk membawa jenazah ke Hospital Melaka,” katanya.

Menurut Mohd Saifullah, masalah belum selesai apabila petugas rumah mayat Hospital Melaka dikatakan telah membawa pulang kunci ke rumah.

Katanya, dia terpaksa menunggu petugas itu datang menyerahkan kunci berkenaan.

“Bedah siasat dilakukan dalam jam 8 malam dan urusan memandikan jenazah hanya dapat dilakukan pada jam 10 malam. Jenazah tiba di rumah hampir jam 1 pagi. Selepas disembahyangkan, jenazah dikebumikan kira-kira jam 2 pagi,” katanya.

Menurut Mohd Saifullah, dia sekeluarga kesal kerana urusan jenazah seorang Islam yang sepatutnya disegerakan telah berlanjutan sehingga 12 jam gara-gara masalah tidak sepatutnya berlaku.

Saya bukan hendak menyalahkan sesiapa. Apa yang berlaku sudahpun berlaku. Saya cuma mahu pihak berkuasa tahu mengenai perkara ini supaya segala kelemahan dapat diatasi segera.

“Kalau boleh saya tidak mahu orang lain mengalami apa yang kami alami,” katanya ketika mengadu masalah berkenaan kepada Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong. Sementara itu, Poay Tiong berkata, beliau akan menghantar surat kepada pihak hospital dan polis bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian berkenaan.

Menurutnya, apa jua kelemahan perlu diatasi bagi memastikan mana-mana keluarga yang berhadapan kehilangan orang tersayang tidak akan mengalami perkara serupa.

“Semua pihak patut mainkan peranan untuk bantu mangsa dan untuk ringankan masalah yang dihadapi,” katanya.

sumber : Sinar Harian

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.